Seawaktu kecil (taklah kecil sangat), sewaktu masih tinggal dengan family, Kalau ada hari penting dalam Islam yang perlu puasa sunat, selalunya ayah datang kejut untuk bersahur diseru puasa satu keluarga. Kemudian ayah akan bercerita macam-macam mengenai kepentingan dan fadhilat hari tersebut sekian-sekian.
Pada sebelum hari raya haji lepas, aku mengamuk seorang diri kononnya terlepas untuk berpuasa sunat hari arafah yang bermaksud aku terlepas fadhilatnya sekali. Pokoknya, hari raya haji di tempat kita, Malaysia tak sama dengan hari raya haji di Mekah lalu hari arafah (hari jemaah haji wukuf di Arafah). Meskipun aku sudah mengeluh, dan sudah ada jawapan kepada kekeliruan aku, sudah agak terlewat sebab aku dah menelan beberapa teguk air sedangkan aku memang berpuasa pada hari sebelum raya haji.
~Bila dah besar, baru aku rasa banyak terharu dan bersyukur dengan cara ibu ayah didik aku dalam bab beragama, walaupun tidak tercapai sebagai seorang muslim alim-warak.
Pada maal hijrah, iaitu awal maharam, sudah teringat-ingat bahawa tak lama lagi akan tiba hari Asura pula. Tup-tap hari ini sudah 9 Muaharam. Terlepas juga untuk initial puasa asyura. Tak mengapalah, sekurang-kurangnya ada niat. Sekurang-kurangnya masih ada lagi esok, 10 Muharam.
~Sangat unfair (zalim) bagi muslim, hari asyura tak pernah diketahui dan diraikan sebetulnya sedang hari Krismas disambut dengan beria-ia sungguh..sighh
Apa itu hari asyura?
Hari asyura ialah ke-10 bulan Muharam Kalendar Hijri
Apa pentingnya hari asyura?
Pentingnya hari Asyura dalam sejarah umat Islam, sejarah umat manusia bahkan;
- Hari yang Nabi Musa dan para pengikutnya diselamatkan oleh Allah daripada kedurjanaan Firaun berdasarkan persitiwa Laut Merah terbelah membenarkan Nabi Musa serta pengikut-pengikutnya melintasi Laut dan menenggelamkan Firaun bersama bala tenteranya. Antara peristiwa lain yang significant ialah;
- hari Nabi Adam (as) diterima taubatnya setelah dicampak ke bumi,
- Allah menyelamatkan Nabi Nuh (as) dan pengikutnya dengan berlabuhnya kapal di bukit Juudi,
- Allah memadamkan api ketika mana Nabi Ibrahim (as) dicampak ke dalam api oleh raja Namrud,
- Allah bercakap secara direct dengan Nabi Musa (as) dan memberi wahyu kepada beliau di bukit Tursina,
- Nabi Ayyub (as) disembuhkan dari penyakit kusta (leprosy)
- Nabi Yusuf (as) dipertemukan kembalik dengan ayahnya Nabi Yaacub (as),
- Nabi Yunus (as) dikeluarkan dari perut ikan Nun,
- Hari yang kota Nabi Sulaiman (as) dipulihkan semula,
- Nabi Isa (as) diangkat ke langit, dan;
- Kesyahidan sayyidina Husain, cucu rasulullah (saw). di Karbala (berlaku selepas kewafatan rasulullah saw)
Salasilah puasa hari asyura dalam Islam adalah begini;
Daripada Ibnu Abbas (ra) berkata; “Apabila Nabi (saw) tiba di Madinah, maka Baginda (saw) melihat orang Yahudi berpuasa hari ashura, maka Baginda (saw) bertanya, “Apakah (amalan) ini? Mereka menjawab; “Ia adalah suatu hari yang baik di mana Allah telah menyelamatkan Nabi Musa (as) dan kaum Bani Israel daripada musuh-musuh mereka, maka Nabi Musa (as) pun berpuasa kerananya. Maka Nabi (saw) pun bersabda; “Aku lebih berhak berbanding kamu terhadap Musa (as).” Maka Rasulullah (saw) pun berpuasa pada hari itu dan menyuruh umatnya berpuasa sama.” (HR Bukhari dan Muslim)
Pada asalnya puasa asyura difardukan kepada muslim ketika itu. Selepas turun ayat Quran yang memfardukan puasa pada bulan ramadhan pada kira-kira tahun ke-2 hijrah, maka rasulullah mengisytiharkan puasa hari asyura adalah sunat;
Fadhilat puasa sunat pada hari asyura adalah diampunkan dosa setahun yang lepas. Iaitu dosa-dosa kecil;
Daripada Abu Qatadah (ra) berkata bahawa Rasulullah (saw) bersabda; "Berpuasa pada hari arafah menghapuskan dosa dua tahun, setahun yang lalu dan setahun yang akan datang, manakala puasa asyura menghapuskan dosa-dosa setahun yang lalu" (HR Bukhari, at-Tirmizi dan Jama'ah)
Dan untuk membezakan puasa umat Islam daripada puasa ahlul kitab (Yahudi) ketika itu, Rasulullah saranankan puasa dua hari iaitu pada 9 dan 10 Muharam;
Terdapat riwayat dari sahih muslim, apabila ditanya oleh sahabat kepada rasulullah berkaitan sambutan hari asyura oleh ahlul kitab berbanding umat Islam; “Ya Rasulullah, hari itu (asyura) diagungkan oleh orang Yahudi” (bermaksud, kenapa umat Islam melakukan perkara yang sama seperti orang Yahudi?),
lalu rasulullah (saw) bersabda; “ InsyaAllah apabila tiba tahun hadapan, kita akan berpuasa pada hari kesembilan (Muharam)”,
dan pada riwayat yang lain, oleh Ibnu Abbas berkata; “Maka sebelum tiba tahun tersebut, rasulullah (saw) telah wafat” (HR Muslim)
Bagi muslim syiah, hari asyura disambut dengan memperingati kesyahidan Husin (ra),cucu baginda rasulullah (saw) semasa peristiwa Karbala. Mereka akan mencederakan diri untuk mengenangkan seksa yang pernah dialami oleh sayyidina husin dan pengikutnya dalam tragedi Karbala tersebut.
Di tempat kita, satu bulan muharam disambut dengan membuat bubur yang dipanggil bubur asyura. Pernah ditanya kepada orang-orang tua kenapa orang (melayu) kita, bila tibanya bulan Muharam, mesti buat bubur syura. Dijawabnya pendek, mengenangkan peristiwa nabi Nuh (as) ketika terselamat dari banjir besar lalu disuruh himpun segala bekalan makanan yang ada dimasak dengan mencampurkan semua sekali (menjadi bubur). Aku ada petik sedikit dari entri sini, yang menerangkan tentang asalusul bubur asyura;
bubur asyura |
Dinukilkan dalam kitab “Nihayatuz Zain” karangan Syeikh Nawawi Al Banteni, dan di dalam kitab “Nuzhatul Majalis” karangan Syeikh Abdur Rahman Al Ushfuri serta di dalam kitab “Jam’ul Fawaid” karangan Syeikh Daud Al Fathoni. Yang antara lainnya menceritakan bahawa, ketika mana bahtera Nabi Nuh a.s. berlabuh di bukit Juudi pada Hari Asyura’, maka berkatalah ia pada umatnya :
“Himpunkan apa yang kamu miliki daripada makanan yang lebih-lebih”. Maka, dibawalah satu genggam daripada kacang Baqila’ iaitu kacang ful (kacang poi) dan satu genggam kacang Adas, Ba’ruz dan hinthoh dan tepung sehingga menjadi tujuh bagai biji-bijian yang dimasak. Maka berkatalah Nabi Nuh A.S : “Masaklah sekeliannya kerana kamu sudah mendapat kesenangan sekarang”.
“Himpunkan apa yang kamu miliki daripada makanan yang lebih-lebih”. Maka, dibawalah satu genggam daripada kacang Baqila’ iaitu kacang ful (kacang poi) dan satu genggam kacang Adas, Ba’ruz dan hinthoh dan tepung sehingga menjadi tujuh bagai biji-bijian yang dimasak. Maka berkatalah Nabi Nuh A.S : “Masaklah sekeliannya kerana kamu sudah mendapat kesenangan sekarang”.
Pada hemat aku, yang jelasnya daripada peninggalan nabi kita Muhammad (saw) ialah berpuasa pada hari ke-9 dan ke-10 Muharam. Itu yang seharus-harusnya (sesunnah-sunnah) kita amalkan. Apa yang dilakukan oleh muslim syiah, ambil intipatinya sahaja iaitu mencintai ahlul bait, husin (ra), falsafah dan pengajaran daripada sejarah hitam umat Islam lampau. Bubur, mungkin dianggap bi’daah, tetapi sedap dan kenyang apabila dimakan, jika diniat sebagai adat dan menjamu orang ramai makan, insyaAllah kenyang dan pahala sedekah di sisi Allah. Wallahu A’lam.
Sumber banyak dipetik dari ummah.com , blog NasbunNurain
Gambar dari; Islam Selamanya, Cybermq, Cariforum
Gambar dari; Islam Selamanya, Cybermq, Cariforum